Assalamualaikum dan Salam Sejahtera....
Sabtu lepas mentua mengadakan Majlis Kesyukuran dan Tahlil di Jengka 9. Majlis kesyukuran diadakan sempena menyambut kelahiran cucu baru, manakala tahlil pula kerana pemergian adik ipar perempuanku. Arwah meninggalkan kami semasa melahirkan anak yang ke-6 kerana penyakit tiroidnya sudahpun merebak dan tidak dapat diselamatkan.
Sebenarnya, saya tidak merancang untuk pulang ke Jengka disebabkan masalah tertentu. Tetapi, pagi Sabtu tu suami tetiba ajak balik. Jadi memang kelam kabut sikitla pagi tu bersiap dan mengemas pakaian yang hendak dibawa pulang. Anak-anak gembira tidak terkira bila kata nak balik kampung. Cepat aje pergi mandi.
Kami bertolak dari Shah Alam jam 10 pagi dan sampai di Jengka jam 1.30 tengah hari. Nasib baik juga sampai sebelum majlis. Majlis kesyukuran dan tahlil dijadualkan berlangsung pada jam 2.30 petang. Mentua hanya menjemput kaum ibu-ibu sahaja untuk program Marhaban. Cucu yang nak diraikan pun cucu perempuan yang bernama Nur Iman.
Tengok pada menunya memang menyelerakan. Nasi dagang gulai ikan tongkol, gulai ayam kampung dan acar buah. Sedap sehingga menjilat jari. Nasi Dagang merupakan hidangan istimewa yang terkenal di Terengganu dan Kelantan. Nasi dagang Terengganu biasanya diperbuat daripada campuran beras dan beras pulut dan dimasak bersama-sama santan kelapa.
Tepat 2.30 petang, tetamu mula memenuhi ruang tamu rumah. Ada juga kawan sekolah rendah masuk kumpulan marhaban ni. Bagus jugakan. Hidup bermasyarakat tidak kira muda atau tua, boleh aje bercampur. Sementara menunggu tetamu-tetamu yang lain, sempat juga saya beramah mesra dengan kaum ibu ini. Gembira dapat jumpa ustazah yang mengajar semasa di Sekolah Agama Rakyat dahulu. Alhamdulillah, Ustazah masih mengenali saya.
Pukul 3.00 petang acara dimulakan dengan Majlis Tahlil dan diikuti marhaban. Mendayu-dayu suara ibu-ibu ini mengalunkan marhaban. Jom saya kongsikan sikit gambar sewaktu majlis tersebut.
Majlis bercukur |
Antara tetamu yang hadir |
baju kuning tu sahabat lama saya |
Di tengah-tengah tu ibu bayi |
Majlis selesai jam 4.30 petang. Apa yang bagusnya program-program yang dibuat di kampung ni dibuat secara bergotong -royong. Pada paginya ibu-ibu ini datang menyiapkan persiapan makanan untuk hidangan pada tetamu. Apabila selesai majlis, kaum ibu ini akan membantu tuan rumah membasuh pinggan mangkuk pula. (Maaf gambar kaum ibu membasuh lupa pulak nak snap)
Bagi tuan rumah pula, acara terakhir adalah membungkus makanan untuk diberikan kepada tetamu-tetamu dan jiran-jiran terdekat.
bungkusan buat tetamu |
Bungkusan buat tetamu |
HUBUNGI SAYA:-
FB : Zainah Mohamad
Emel : zainahmohamad09@gmail.com
Call/Sms/Whatsapp/Telegram : 012-350 4258
ID Shaklee : 1122124